Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Hari Bertemu Pembekal EP : Program Daftar Dan Lulus Sijil MoF

Hari Bertemu Pembekal EP : Program Daftar Dan Lulus  Sijil MoF

Kementerian Kewangan Malaysia melalui Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) dan Perbendaharaan Malaysia Sabah serta Perbendaharaan Malaysia Sarawak telah melaksanakan program Daftar & Lulus Sijil Kementerian Kewangan (MoF) secara aktif di seluruh negara bermula pada tahun 2022.

Menerusi program ini, semua syarikat yang ingin mendapatkan Sijil Kewangan (Lesen MoF) boleh hadir dengan membawa dokumen yang lengkap. Pada setiap sesi program, ia akan dihadiri oleh pegawai pemproses dan pelulus dan syarikat akan dibantu untuk membuat pendaftaran secara atas talian menerusi sistem ePerolehan.

Kelulusan serta-merta Sijil MoF ini boleh diperoleh jika permohonan syarikat memenuhi syarat yang ditetapkan. Bagaimanapun pada program ini, kelulusan serta merta tidak tertakluk untuk permohonan pendaftaran bagi bidang khas dan Bumiputera.

Pihak yang layak memiliki Sijil MoF adalah mereka yang terdiri daripada syarikat berdaftar kategori enterprise, sendirian berhad, berhad mahupun badan koperasi.

Sebanyak 14 program Daftar & Lulus ini telahpun berjaya diadakan pada tahun ini. Ini termasuk sebanyak empat (4) telah selesai diadakan mengikut zon iaitu dua (2) bagi Zon Lembah Klang dan masing-masing satu (1) di Zon Selatan (Melaka), Zon Timur (Pahang) dan hari ini di Zon Utara (Pulau Pinang).

Di Sabah, program ini dinamakan sebagai Sanang Baitu Daftar eP yang mana telah dilaksanakan di tiga (3) lokasi iaitu di Tuaran, Keningau dan Sandakan. Manakala di Sarawak program Daftar & Lulus Sijil MoF ini digerakkan menerusi Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak dan Program Kecemerlangan Pengurusan Kewangan dan setakat ini enam (6) lokasi telah selesai diadakan iaitu Sadong, Simunjan, Tatau, Sebauh dan Kuching. Program seterusnya di Sarawak akan diadakan pada 8 Ogos di bandar Kuching.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini telah menerima sambutan yang amat baik daripada pihak syarikat. Lebih 60 peratus syarikat yang hadir pada program ini berjaya dalam permohonan dan mendapat kelulusan serta-merta untuk mereka memiliki Sijil MoF (sah untuk 3 tahun).

MOF yakin usaha yang dilakukan ini membolehkan setiap syarikat menerima peluang yang sama dalam bersaing di pasaran perolehan Kerajaan Persekutuan.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
27 Julai 2023

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility