Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kerajaan Kekalkan BUDI Diesel RM300 Bagi April

Kerajaan Kekalkan BUDI Diesel RM300 Bagi April

Dalam suasana pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu, Kerajaan MADANI mengambil langkah tegas bagi melindungi rakyat dengan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi April 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bantuan tambahan interim RM100 diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300.

Bantuan akan disalurkan mulai 8 April 2026, memanfaatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi oleh rakyat susulan kenaikan harga bahan api global. Langkah ini dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi, supaya terus menerima sokongan serta melindungi mereka dari terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global.

Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, BUDI Diesel telah membantu meringankan kos sara hidup dengan jumlah bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion. Pendekatan bersasar ini memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sambil mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.

Selain langkah interim ini, Kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memanfaatkan rakyat.

Kerajaan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi. Penguatkuasaan juga dipertingkat bagi membendung penyelewengan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar.

Permohonan BUDI Diesel dibuka sepanjang tahun melalui laman sesawang rasmi https://budidiesel.gov.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
31 Mac 2026

↓ Muat turun: Nota-BUDI-Diesel-31032026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility