Pilih bahasa anda
Timbalan Menteri Kewangan, YB Tuan Liew Chin Tong, telah mempengerusikan sesi libat urus bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Persatuan Kaca Malaysia (Malaysia Glass Association – MGA) pada 27 Julai 2026 bagi membincangkan isu kemasukan produk bahan binaan yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, cabaran yang dihadapi industri serta langkah-langkah memperkukuh pematuhan dan penguatkuasaan.
Dalam sesi tersebut, YB Timbalan Menteri Kewangan menegaskan bahawa isu kemasukan produk yang tidak mematuhi piawaian tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna, malah menggugat integriti pasaran, mewujudkan persaingan yang tidak adil serta menjejaskan keyakinan terhadap ekosistem perdagangan negara.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited memastikan setiap aktiviti perdagangan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, pematuhan kepada undang-undang dan akauntabiliti.
"Setiap produk yang dipasarkan di Malaysia perlu memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan. Ini penting bagi melindungi kepentingan rakyat, memastikan persaingan yang adil serta mengelakkan pihak yang mematuhi peraturan daripada terus berdepan persaingan tidak sihat akibat amalan perdagangan yang tidak bertanggungjawab."
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh pematuhan piawaian merupakan sebahagian daripada pendekatan whole-of-government yang melibatkan kerjasama erat antara kementerian, agensi pengawal selia dan pemain industri. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan kawal selia serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, berdaya saing dan mampan.
Tadbir urus pasaran yang berkesan bukan sahaja melindungi pengguna dan industri tempatan yang mematuhi peraturan, malah menyumbang kepada kestabilan ekonomi, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan ekosistem perdagangan negara terus beroperasi secara telus dan berintegriti.
Dalam hubungan ini, CIDB sebagai agensi bertanggungjawab untuk membangunkan, mengawal selia, dan meningkatkan kualiti serta keselamatan industri pembinaan di Malaysia akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian produk bahan binaan, termasuk memperkukuh kawal selia import, pemeriksaan pematuhan serta tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Kementerian Kewangan akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi dan pihak industri bagi memperkukuh sistem kawal selia negara, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, melindungi kepentingan dan keselamatan rakyat serta memperkukuh daya saing perusahaan tempatan.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
12 Ogos 2026
↓Muat Turun : SIARAN-MEDIA-TADBIR-URUS-IMPORT-TMK-120826