Pilih bahasa anda


Harga minyak mentah global telah melonjak sejak lima minggu lalu susulan krisis tenaga di Asia Barat, yang telah meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.
Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.
Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya, dan bukannya harga semasa hari ini.
Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu, ketika pasaran global berada pada paras yang lebih tinggi, yang telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel, dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara.
Justeru, selaras dengan formula Automatic Pricing Formula (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 9 April hingga 15 April 2026 adalah seperti berikut.
Harga Runcit Tanpa Subsidi
| Bahan Api | Harga Runcit |
|---|---|
| RON97 | RM5.35 seliter (harga 8 April 2026: RM4.95 seliter) |
| RON95 | RM4.27 seliter (harga 8 April 2026: RM3.87 seliter) |
| Diesel (Semenanjung Malaysia) | RM6.72 seliter (harga 8 April 2026: RM6.02 seliter) |
Manakala, Kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P Labuan) | RM2.15 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Bermula 1 April 2026, had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan. Pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.
Selain itu, Kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan seperti berikut:
| Had Pengisian Diesel | Kategori Kenderaan |
|---|---|
| Maksimum 50 liter setiap pembelian | Kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian |
| Maksimum 100 liter setiap pembelian | Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan |
| Maksimum 150 liter setiap pembelian | Kenderaan melebihi 3 tan |
Sebagai langkah sementara susulan kenaikan harga diesel, Kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada.
Kerajaan MADANI akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
8 April 2026
↓ Muat Turun: Siaran-Media-Harga-Petroleum-08042026