Pilih bahasa anda
Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, mengambil maklum laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Accounts Committee, PAC) berhubung usaha menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta. JBMKKS turut mengiktiraf kepentingan isu-isu ini terhadap kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan.
Cadangan yang dikemukakan oleh PAC secara umumnya selaras dengan hala tuju Strategi RESET serta mengukuhkan keperluan untuk mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan. Sehubungan itu, JBMKKS akan meneliti setiap syor yang dikemukakan dan memberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan yang sedang dilaksanakan.
Sejak pelancaran Strategi RESET, JBMKKS telah menerajui usaha yang terselaras merentas Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan insurans. Pendekatan ini memberi tumpuan kepada usaha menangani faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan, termasuk pendorong jangka pendek dan faktor struktur yang mencetuskan inflasi kos perubatan, di samping memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti dan mampu milik.
Kemajuan yang memberangsangkan telah dicapai dalam pelaksanaan inisiatif pembaharuan di bawah Strategi RESET. Antaranya, pelan asas Malaysia Health Insurance and Takaful (MHIT) dijangka memasuki fasa pelaksanaan rintis menjelang akhir Julai. Selain itu, beberapa inisiatif utama turut sedang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk penggunaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) sebagai mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, peningkatan ketelusan harga dan faktor pendorong inflasi perubatan, pengukuhan standard data, serta penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian. Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara pembuat dasar, pengawal selia, pembayar serta penyedia perkhidmatan kesihatan dalam menjayakan reformasi sektor penjagaan kesihatan negara.
JBMKKS dan semua pihak yang terlibat kekal komited untuk memastikan pelaksanaan Strategi RESET berjalan mengikut jadual serta mencapai hasil yang nyata kepada rakyat. Matlamat utama usaha ini adalah untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta lebih telus, lebih mampu milik dan mampan demi manfaat semua rakyat Malaysia. JBMKKS akan terus memantau perkembangan pelaksanaan secara rapi dan akan memaklumkan perkembangan terkini selepas mesyuarat jawatankuasa yang dijadualkan pada bulan Julai.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
26 Jun 2026
Mengenai RESET
RESET ialah usaha kolaboratif oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan pihak berkepentingan utama untuk menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia supaya dapat memperluas akses dan lebih mampan.
Tumpuan yang lebih teliti diberikan kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai dalam usaha menambah baik hasil bagi pesakit, mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menjimatkan kos serta meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti. RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani cabaran dalam sistem penjagaan kesihatan swasta Malaysia melalui 11 inisiatif. Lima teras strategik tersebut ialah:
Mengenai JBMKKS
Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) ditubuhkan pada 25 Jun 2025 oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan. Jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, serta melibatkan wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia.
JBMKKS memainkan peranan penting dalam memacu dan memantau inisiatif di bawah rangka kerja RESET melalui libat urus dan kerjasama yang berterusan. Bagi memastikan sokongan yang menyeluruh, Jawatankuasa ini dipandu oleh Majlis Perundingan yang ahlinya terdiri daripada pihak berkepentingan utama daripada hospital swasta, syarikat insurans dan pengendali takaful, doktor perubatan, kumpulan pengguna dan ahli akademik.