Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pemandu e-Hailing Akan Menerima Manfaat Tambahan BUDI95 Mulai 15 Oktober; Pengendali Bot Tidak Ketinggalan Juga

Pemandu e-Hailing Akan Menerima Manfaat Tambahan BUDI95 Mulai 15 Oktober; Pengendali Bot Tidak Ketinggalan Juga

Sehubungan dengan pelaksanaan BUDI95, Kementerian Kewangan ingin memaklumkan perkembangan terkini:

  1. Had kelayakan subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak telah diperbaharui pada 1 Oktober 2025 dan manfaat ini akan diperbaharui setiap 1 hari bulan.

  2. Kerajaan telah bersetuju memberi pemandu e-hailing sepenuh masa dengan had kelayakan tambahan dan penambahan had ini akan diberikan sebelum pertengahan bulan Oktober 2025. Pemandu e-hailing tidak perlu memohon secara individu. Kerajaan akan berurusan dengan Syarikat Pengendali e-hailing (EHO) untuk membuat permohonan secara berkelompok.

  3. Mengambil kira pengangkutan air, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melanjutkan kelayakan untuk BUDI95 kepada warganegara yang merupakan pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah. Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri yang berkenaan, seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenal pasti pemilik bot berdaftar.

 

Kelancaran operasi BUDI95 kekal menjadi keutamaan. Setakat jam 6 petang hari ini, jumlah pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui sistem BUDI95 telah merekodkan transaksi bernilai kira-kira RM84.2 juta.

Ini melibatkan lebih daripada 42.3 juta liter petrol RON95. Daripada jumlah tersebut, Kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Sejak pengenalan BUDI95 secara berperingkat mulai 27 September 2025, seramai lebih 3 juta pengguna telah memanfaatkan BUDI95 dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan adalah sebanyak RM255.6 juta, melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67.0 juta disalurkan oleh Kerajaan.

Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut. Portal ini turut dilengkapi ciri semakan rekod transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
1 Oktober 2025

↓ Muat turun: Siaran-Media-Hari-Kedua-Pelaksanaan-BUDI95

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility