Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pembayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 Diawalkan Mulai 18 Oktober 2025

Pembayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 Diawalkan  Mulai 18 Oktober 2025

8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bermula 18 Oktober 2025 — lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November 2025 sebelum perayaan Deepavali.

Bagi fasa ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori. Jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025.

Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah — daripada 8.3 juta — susulan keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.

“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Kerajaan MADANI akan terus membuka pendaftaran STR dan SARA 2026 sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan. Seperti diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar ketika pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober 2025, peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM15 bilion bagi tahun 2026.

Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan. Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.

Kementerian Kewangan (MOF) turut mengingatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
17 Oktober 2025

↓ Muat turun: Lampiran STR Fasa 4

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility