Pilih bahasa anda
Hari pertama akses awal pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah berjalan lancar. Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang aduan atau masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak.
Sepanjang hari pertama akses awal pada 27 Jun 2026, hampir 24,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian hampir 1 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan semua agensi pelaksana atas kerjasama memastikan akses awal ini berjalan teratur.
Pelaksanaan akses awal ini merupakan persediaan kepada pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara mulai 1 Julai 2026. Mulai tarikh tersebut, warganegara yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara melalui pengesahan MyKad.
Pembaharuan subsidi diesel pastikan bekalan terjamin dan subsidi lebih bersasar
Kerajaan MADANI melaksanakan pembaharuan subsidi diesel bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi negara kekal mencukupi untuk rakyat dan sektor yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan ketirisan serta memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan yang layak. Pendekatan ini turut mengambil kira corak penggunaan diesel yang berbeza mengikut lokasi, jenis kenderaan dan keperluan operasi di seluruh negara.
Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian, subsidi disalurkan melalui BUDI Diesel menggunakan MyKad dengan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan. Memandangkan majoriti kenderaan diesel persendirian terdiri daripada pikap dan jip yang digunakan untuk perjalanan harian, kerja dan pergerakan ke kawasan pedalaman, pemilik yang layak boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Setakat jam 11.00 pagi, 28 Jun 2026, portal rasmi BUDI MADANI telah menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan 100 liter sebulan untuk pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), mengikut kategori serta keperluan operasi masing-masing. KPDN juga akan menyelaras pelaksanaan subsidi bagi kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip yang layak, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun 2026.
Kerajaan Persekutuan turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai, supaya tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada bantuan subsidi.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta menambah baik pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat dan industri. Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel atau mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
28 Jun 2026
↓ Muat turun: Pembelian Diesel Bersubsidi Melalui MyKad Berjalan Lancar Pada Hari Pertama