Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Penambahbaikan Subsidi RON95 Bagi Pemandu E-Hailing Dan Teksi Lapangan Terbang

Penambahbaikan Subsidi RON95 Bagi  Pemandu E-Hailing Dan Teksi Lapangan Terbang

Seperti diumumkan semasa Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri hari ini oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Kerajaan MADANI telah memperkenalkan penambahbaikan penyaluran subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang.

Penambahbaikan ini merupakan hasil perbincangan antara Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta syarikat pengendali e-hailing (EHO), dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar lebih saksama dan terangkum demi memelihara mata pencarian pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang.

Skim berperingkat untuk pemandu e-hailing

Bagi pemandu e-hailing, Kerajaan MADANI telah memperkenalkan skim kelayakan berperingkat BUDI95 yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan. Tahap peningkatan siling kelayakan bulanan BUDI95 bergantung kepada jarak perjalanan e-hailing yang direkodkan dalam sistem EHO bagi bulan sebelumnya, seperti berikut:

Jarak perjalanan e-hailing (bulan sebelumnya) Tambahan kelayakan BUDI95 Jumlah kelayakan (termasuk 300 liter asas)  
Kurang daripada 2,000 km Tiada tambahan 300 liter  
2,000-5,000 km 300 liter 600 liter  
Melebihi 5,000 km 500 liter 800 liter  

Dalam hal ini, jarak perjalanan seseorang pemandu e-hailing akan dikira berdasarkan jumlah data jarak yang direkodkan oleh semua EHO, dan urusan ini akan dikendalikan oleh APAD dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak. (Contoh: Encik Danial memandu 1,500 km dengan EHO A dan 600km dengan EHO B, maka jumlah jarak perjalanan adalah sebanyak 2,100 km dan Encik Danial layak menerima tambahan kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter.) 

EHO bertanggungjawab mengemukakan rekod perjalanan bulanan pemandu e-hailing secara tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan.

Nilai ambang jarak perjalanan baharu ini ditetapkan berdasarkan kajian MoF terhadap data jarak perjalanan e-hailing yang dikemukakan oleh EHO serta data penggunaan BUDI95 sebenar oleh pemandu e-hailing pada September 2025.

Penurunan nilai ambang kelayakan asal dari 3,000 km ke 2,000 km serta pengenalan peringkat baharu melebihi 5,000 km dibuat setelah mengambil kira pergerakan tanpa penumpang yang tidak direkodkan dalam aplikasi EHO. Langkah ini memastikan jumlah kelayakan BUDI95 bagi setiap peringkat adalah mencukupi untuk menampung jarak perjalanan harian untuk kebanyakan pemandu e-hailing.

Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dan penggunaan pemandu e-hailing bagi memastikan mekanisme yang terbaik bagi semua pihak dalam jangka masa panjang.

Pelaksanaan untuk pemandu teksi lapangan terbang

Sementara itu, syarikat pengendali teksi lapangan terbang kini boleh memohon fleet card di bawah SKPS kendalian KPDN, selaras dengan pelaksanaan sedia ada bagi kategori teksi dan kereta sewa yang layak menerima sehingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.

Namun demikian, limousin yang beroperasi di lapangan terbang dan tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak untuk memohon fleet card di bawah SKPS.

Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini dilaksanakan secara telus, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Pihak APAD dan LPKP akan membuat makluman lanjut berkenaan kriteria kelayakan yang perlu dipatuhi oleh pemandu e-hailing bagi mendapat kelayakan tambahan BUDI95 ini, manakala syarikat pengendali lapangan terbang boleh mula mengemukakan permohonan fleet card melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
4 November 2025

↓ Muat turun: Siaran-Media-penambahbaikan-subsidi-ron95-pemandu-ehailing-teksi-lapangan-terbang

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility