Select your language
Akta Kredit Pengguna 2025 atau Akta 873 (AKP) telah diwartakan pada 31 Disember 2025 dan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026. Sejajar dengan penguatkuasaan AKP yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia, Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Akta ini berperanan mengawal selia pelakuan industri kredit pengguna di Malaysia secara lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan seperti berikut:
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II berkata: “Usaha ini adalah langkah penting Kerajaan bagi membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab.
“Dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna, Kerajaan meneguhkan perlindungan terhadap pengguna supaya mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika,” katanya lagi.
Melalui Akta ini juga, pemberi kredit seperti syarikat skim beli sekarang bayar kemudian (Buy Now Pay Later Scheme, BNPL), syarikat pemajakan (leasing), dan syarikat pemfaktoran (factoring) diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP. Sementara itu, pemberi perkhidmatan kredit seperti agensi pemungutan hutang (debt collection), syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas (impaired loan or financing acquisition), serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang (debt counselling and management) juga perlu berdaftar dengan SKP.
Keperluan pelesenan dan pendaftaran ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, dengan tempoh peralihan selama enam (6) bulan diberikan kepada pihak industri untuk memohon lesen atau pendaftaran di bawah AKP.
Langkah ini bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tahap tadbir urus industri kredit, serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab dan profesional.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
2 Mac 2026