Pilih bahasa anda
Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula disalurkan secara berperingkat mulai hari ini, 15 Ogos 2026, kepada 5.3 juta penerima, meningkat sebanyak 300,000 penerima berbanding 5 juta penerima pada awal tahun.
Kerajaan MADANI memperuntukkan RM1.2 bilion bagi pembayaran Fasa 3. Daripada 5.3 juta penerima tersebut, 3.9 juta merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta merupakan warga emas tiada pasangan.
Bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 dan RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun 2026 mencecah RM3.6 bilion.
Bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan. Jumlah ini tidak termasuk pemberian one-off SARA untuk Semua kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
Mulai tahun 2026, bantuan kepada rakyat distrukturkan sokongan diterima secara lebih teratur sepanjang tahun. STR disalurkan secara suku tahunan, manakala SARA menyediakan bantuan asas secara bulanan kepada penerima yang layak
“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, Kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara Kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat. Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” tambah beliau.
Penstrukturan semula kewangan Kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan dan hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2016.
Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai 15 Ogos 2026. Penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi STR di bantuantunai.hasil.gov.my. Soalan lazim (FAQ) berkenaan STR turut disediakan di portal tersebut manakala FAQ SARA boleh disemak melalui portal rasmi SARA di sara.gov.my.
Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat terkini.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
15 Ogos 2026
↓ Muat Turun : Siaran-Media-STR-2026-Fasa-3-15082026