Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

SARA Bulanan Disalurkan Mulai 9 Januari 2026 Dan SARA Untuk Semua Pada 9 Februari 2026

SARA Bulanan Disalurkan Mulai 9 Januari 2026 Dan SARA Untuk Semua Pada 9 Februari 2026

SARA Bulanan

Seperti diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Perhimpunan Bulanan YAB Perdana Menteri hari ini, Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan akan disalurkan seawal 9 Januari 2026 dan memperkenalkan beberapa penambahbaikan baharu bagi meningkatkan manfaat golongan penerima.

Pada tahun ini, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir tahun 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada. 

Penyaluran SARA Bulanan 2026 akan bermula pada 9 Januari 2026 untuk 5 juta penerima yang terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari 2026. Penerima SARA bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan. 

Secara keseluruhan, SARA Bulanan melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk tahun 2026, berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion pada tahun 2025. SARA Bulanan untuk tahun 2025 telah menunjukkan prestasi perbelanjaan hampir 100% oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar.

SARA untuk Semua

YAB Dato’ Seri Anwar juga mengumumkan hari ini bantuan SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara one-off akan disalurkan pada 9 Februari 2026 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bagi manfaat rakyat untuk persiapan Ramadhan dan sambutan Tahun Baru Cina. 

Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan. Seramai 22 juta warganegara Malaysia, iaitu semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas, berkelayakan menerima kredit one-off tersebut. 

SARA untuk Semua 2025 telah mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta rakyat, iaitu 96% penerima, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion. 

Seperti yang dijanjikan, baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sekitar RM150 juta akan disalurkan semula bagi menjamin maslahat golongan rentan. Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar OKU dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan. 

SARA untuk Semua ialah bantuan one-off yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira pendapatan. Bantuan ini berbeza daripada SARA Bulanan, iaitu bantuan barangan asas yang disalurkan setiap bulan mulai 9 Januari 2026 kepada penerima STR dan golongan memerlukan.

Selain itu, YAB Dato’ Seri Anwar mengumumkan penyaluran STR Fasa 1 2026 akan bermula pada 20 Januari 2026, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan. Penerima akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing. 


Kementerian Kewangan
Putrajaya
5 Januari 2026

↓ Muat turun: Siaran-Media-SARA-Bulanan-Mulai-9-Jan-2026-Dan-SARA-Untuk-Semua-9-Feb-2026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility