Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Semakan Semula Kadar Cukai Jualan Dan Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Secara Bersasar Berkuat Kuasa 1 Julai 2025

  Semakan Semula Kadar Cukai Jualan Dan Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Secara Bersasar Berkuat Kuasa 1 Julai 2025

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) mulai 1 Julai 2025. Langkah ini bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian. Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.

“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai. Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.

“Melengkapi usaha Kerajaan MADANI untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambah baikan SST ini akan membolehkan penambah baikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam. Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” tambah beliau.

Secara amnya, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP merangkumi perkara-perkara berikut:

  1. Kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat;
  2. Kadar CJ sebanyak 5% atau 10% dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas; dan
  3. Skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda, serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.

Kerajaan MADANI juga mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST. Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025.

Sila rujuk Lampiran untuk maklumat perincian. Hebahan umum, perundangan subsidiari, ketetapan umum, garis panduan dan soalan lazim (FAQ) juga akan dibuat melalui siaran media rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 Jun 2025


↓ Muat turun:

Lampiran

 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility