Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 Disalurkan Mulai 20 Januari 2026

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 Disalurkan Mulai 20 Januari 2026

Seperti diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari 2026, Kerajaan MADANI akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 bermula 20 Januari 2026.

Bagi fasa ini, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan, memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan. Penerima akan menerima sebanyak RM100 sehingga RM500, mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan inisiatif Kerajaan dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan, Kerajaan telah menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026.

Di bawah penambahbaikan ini, lebih 8 juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih; menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat.

STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.

Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan. Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

“Kerangka Ekonomi MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Apakala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my. Soalan lazim (FAQ) berkenaan STR juga disediakan di portal tersebut, manakala status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) SARA boleh disemak terus melalui portal rasmi SARA https://sara.gov.my.

Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan. Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.

Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara.

Semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka. Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Kementerian Kewangan (MoF) mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sebagai langkah keselamatan, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini.


Kementerian Kewangan
Putrajaya 
14 Januari 2026

↓ Muat turun: Lampiran STR

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility